KEPALA BATAS: Taman Tema Air Bertam Resort & Water Park di Kepala Batas, yang baru dibuka kepada umum 15 Disember lepas diarah tutup buat sementara waktu bermula hari ini.

Arahan penutupan itu dibuat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas mendapati premis berkenaan dipercayai beroperasi tanpa lesen hiburan bagi aktiviti taman tema air.

MBSP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan pihaknya sudah beberapa kali membuat pemeriksaan bermula pada 16 Disember dengan kali terakhir pada 27 Disember lepas .

"Pihak MBSP mendapati taman tema berkenaan  beroperasi tanpa lesen dan telah mengeluarkan notis supaya pihak pengurusan  menghentikan aktiviti hiburan taman tema air di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998 .

"Namun pihak pengurusan didapati masih gagal mematuhi arahan tersebut  menyebabkan satu tindakan penutupan  dibuat kira kira jam 9.40 pagi hari ini," menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 58 saat pengunjung berkumpul di hadapan pintu masuk taman tema berkenaan.

Turut kelihatan beberapa penguat kuasa MBSP sedang menampal notis penutupan di premis berkenaan.

Rata-rata pengunjung yang datang ke taman tema sempena cuti sekolah kecewa dengan tindakan tersebut.

Taman tema yang bernilai RM90 juta itu dilapor mula beroperasi 15 Disember lalu selepas tertangguh sejak sekian lama akibat beberapa masalah termasuk pandemik COVID-19.